- Tanaman tomato dan cili, pada teorinya, menjalani pendebungaan sendiri. Tetapi apabila ditanam didalam SPH lebih-lebih lagi yang dipasang dengan jaring kalis serangga, terdapat banyak putik buah yang gugur. Kebanyakannya keguguran telah dikenal pasti disebabkan tidak berlaku proses pendebungaan.
- Di negara Eropah, bumble bee dipelihara untuk membantu pendebungaan semua pokok jenis buah yang ditanam didalam rumah kaca.
- Walau bagaimanapun proses pendebungaan boleh juga dibantu secara manual dengan membuat gegaran pada tangkai bunga antara pukul 9.30 pagi hingga 2.00 petang setiap hari.
- Walaupun kaedah ini terlalu banyak menggunakan masa tetapi hasilnya lebih terjamin. Alat penggetar bunga (flower vibrator) telah digunakan secara meluas dibarat sebelum penggunaan bumble bee diketahui.
- Dengan pemeliharaan kelulut didalam SPH berdinding kalis serangga, walaupun telah berjaya meningkatkan bilangan buah cili, tetapi ia bersifat sementara kerana semua kelulut tersebut telah mati mungkin disebabkan keadaan yang panas didalam SPH.
- Pendebungaan berbantu menggunakan tangan perlu dilakukan kepada tanaman rockmelon bagi memastikan hasil dapat dituai.
PENUAIAN
- Pada kebiasaannya pokok tomato, rockmelon dan cili yang ditanam secara fertigasi tanpa menggunakan tanah akan mula dikutip hasilnya 60-90 hari setelah disemai.
- Buah tomato yang dipetik mestilah mempunyai tangkai buah. Tujuannya adalah untuk membezakan tomato yang ditanam tanpa tanah dengan tomato yang ditanam secara biasa diladang.
- Memetik buah dilakukan dengan jari hantu, manakala jari telunjuk pula menekan tangkai buah pada garisan tanggal (senescence line) kebawah. Pada garisan tanggal ini buah tomato akan mudah diasingkan dari truss. Buah yang dipetik secara ini akan kelihatan lebih menarik.
- Bagi tanaman rockmelon, buah dipetik apabila daun pengasuh (flag leaf) pada tangkai buah telah menguning atau kering dan diikuti dengan adanya tanda retak (garisan retak) menggelilingi pangkal buah.
- Semua hasil tanaman perlu dibuat penggredan mengikut saiz. Jika dicampuradukkannya boleh menyebabkan harga pasarannya akan turun.
Melentur
- Melentur hanya perlu dilakukan pada tanaman tomato jenis indeterminate.
- Tomato jenis ini hanya terbukti dapat memberikan hasil tuaian yang tinggi bagi setiap pokok kerana potensi jangka hayat ekonominya lebih panjang dan penuaian buah yang berterusan dapat dilakukan.
- Pokok tomato yang tidak dilenturkan akan tumbuh memanjang tanpa haluan. Keadaan ini akan menyukarkan kerja-kerja pengurusan yang lain seperti membuang tunas air dan mengutip buah.
- Amalan yang biasa dilakukan oleh pengusaha adalah dengan melentur pokok tomato kesisi sama ada ke kanan atau ke kiri susunan batas.
- Pokok yang disebelahnya turut dilenturkan mengikut arah yang sama. Cara melentur yang mudah dan tidak menjejaskan pokok (yang memungkinkannya patah) adalah dengan melakukannya seawal mungkin.
- Melentur dilakukan dengan mengendurkan tali lanjaran dan menganjakkan dawai penyangkut kesisi dengan ukuran jarak 30cm.
- Pergerakan melentur dilakukan secara bergerak kebelakang (mengundur).
Melilit pokok mengikut tali lanjaran
- Kerja melilitkan pucuk pokok mesti dilakukan bagi memastikan pokok tanaman terus tumbuh keatas.
- Sekiranya tidak dilakukan terutamanya pada tanaman tomato, pucuk batang utamanya akan memanjang kesisi dan mungkin akan patah.
- Manakala bagi pokok rockmelon dan timun, pucuk pokok akan mengganggu pokok-pokok disebelahnya dan akan menyukarkan kerja-kerja pengurusan yang lain seperti mengutip buah dan membuang tunas air.
- Kerja-kerja melilit pokok biasanya dilakukan serentak dengan kerja-kerja membuang tunas air.
Membuang Tunas Air
- Tunas air yang dikeluarkan oleh semua pokok (jenis berdaun lebar) tidak diperlukan. Tunas air akan terus tumbuh dari celah daun (diantara batang pokok dengan tangkai daun).
- Membuang tunas air perlu dilakukan untuk semua poko sayuran jenis buah yang ditanam secara tanpa tanah termasuk tomato, rockmelon, cili, capsicum dan timun.
- Kerja-kerja membuang tunas air merupakan kerja harian yang mesti dilakukan untuk mendapatkan satu batang utama (single main stem).
- Dengan mengekalkan satu batang utama, jangka hayat ekonomi tanaman dapat dipanjangkan dan menjamin buah yang lebih besar dan seragam.
- Tanaman tomato jenis indeterminate di kawasan tanah rendah tropika boleh tumbuh memanjang melebihi 6 m dan masih mampu mengeluarkan hasil walaupun mungkin tidak ekonomik.
- Kerja-kerja membuang tunas air perlu dilakukan seawal mungkin bahkan dari perimgkat pembesaran ditapak semaian lagi.
Membuang Daun Tua
- Daun tuan perlu dibuang kerana tidak berupaya lagi untuk membantu membuat makanan (terutamanya yang terlindung daripada mendapat cahaya matahari).
- Daun tua juga kebanyakannya berpenyakit. Pembuangan daun tua biasanya dilakukan selepas mengutip hasil.