Tuesday, March 15, 2011

Pengenalan tentang Fertigasi

Fertigasi sebenarnya berasal daripada cantuman dua perkataan "fertilization" dan "irrigation". Proses pembajaan dan pengairan terhadap tanaman berjalan serentak. Fertigasi juga merujuk kepada sistem pengeluaran tanaman tanpa menggunakan tanah ( soilless culture production system ) . Umumnya hanya beberapa jenis sayur dan buah sahaja seperti tomato, cili merah, timun, zukini, terung, rockmelon dan strawberi yang sesuai menggunakan kaedah ini.


Tujuan asal kaedah ini adah untuk mengelakkan tanaman daripada dijangkiti penyakit akar seperti penyakit Pythium, Fusarium, Rhizoctonia dan penyakit layu bakteria yang kebanyakannya dibawa oleh tanah. Untuk membolehkan kaedah ini dilaksanakan, seseorang pengusaha itu mestilah mempunyai rumah tanaman, yang lebih dikenali sebagai struktur pelindung hujan ( SPH ).

Pelbagai bentuk SPH yang dibina daripada pelbagai bahan terdapat di Malaysia. Bumbung SPH mestilah diperbuat daripada bahan yang lut sinar yakni telus cahaya. SPH diperlukan untuk mengelakkan tanaman yang ditanam tidak mudah dijangkiti oleh sebarang penyakit sama ada penyakit daun, pucuk atau buah yang disebabkan oleh percikan hujan. Antara penyakit yang dianggap paling merbahaya ialah penyakit hawar pucuk dan Antraknos.

Selain melindungi tanaman daripada dijangkiti penyakit, ia juga bertujuan untuk mengelakkan larutan baja yang diberikan kepada pokok menjadi terlalu cair (terkena hujan) dan membuatkan pemberian baja tidak berkesan.

Contoh Rumah SPH
 Medium tanaman yang paling banyak digunakan ialah 'coconut coir dust' yang juga dikenali dengan panggilan 'coco peat' . Dalam bahasa mudah bermaksud habuk sabut kelapa. 'Coco peat' mudah diperoleh jika dibandingkan dengan medium tanaman komersial lain seperti "perlite", "vermiculite" dan "maidenwell diatomite". Medium tanpa tanah lain yang boleh digunakan ialah medium pasir sungai, pasir lombong atau batu kerikil granit (bukan batu kapur).

Fertigasi boleh mengurangkan kos operasi, dan inilah punca utama ia diminati ramai pengguna. Penggunaan sistem fertigasi secara ketara dapat mengurangkan penggunaan air dan baja berbanding dengan cara-cara lain. Kos tenaga kerja untuk mengendalikan sistem ini juga rendah. Penggunaan alat pengatur masa automatik menjamin keberkesanannya.

Baiklah siri akan datang saya akan terangkan pula tentang maklumat asas dalam penanaman secara fertigasi.
Jangan lupa follow saya .

2 comments: