Friday, March 18, 2011

SISTEM FERTIGASI

Sistem Pengairan fertigasi

  • Sistem fertigasi ialah satu sistem pembekalan air dan larutan baja ke zon akar secara automatik mengikut keperluan tumbesaran tanaman secara berkesan.
  • Sistem fertigasi dijadualkan untuk mengagihkan larutan baja (pada kepekatan rendah) beberapa kali sehari (mengikut keperluan) kepada setiap pokok.
  • Tujuan utama sistem ini adalah untuk menigkatkan keberkesanan penggunaan baja. Pengagihan secara automatik menggunakan pengatur masa (timer) dengan kekerapan dan tempoh pemberian yang telah dikenal pasti dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh.
  • Sistem fertigasi direka bentuk mengikut keperluan amalan fisiologi dan tanaman yang khusus.
  • Pam air boleh tenggelam (submersible pump) yang diperbuat daripada polietilena dan keluli tahan karat digunakan untuk mengepam larutan baja dari tangki larutan baja


Kaedah Penanaman Secara Fertigasi

  • Fertigasi disini merujuk kepada sistem pengeluaran tanaman tanpa menggunakan tanah (soiless culture production system).
  • Umumnya hanya sayur-sayuran jenis buah sahaja seperti tomato, cili merah, capsicum, timun, rockmelon, zukini, terung dan strawberi yang sesuai lagi ekonomik menggunakan kaedah ini.
  • Tujuan penanaman secara fertigasi adalah untuk mengelakkan tanaman daripada dijangkiti penyakit akar yang disebabkan oleh Pytium, Fusarium, Rhizoctonia dan penyakit layu bakteria yang kebanyakannya jenis penyakit bawaan tanah.
  • Bagi membolehkan kaedah ini dilaksanakan, seseorang pengusaha itu mestilah mempunyai struktur pelindung hujan (SPH).
  • Pelbagai bentuk SPH yang dibina daripada pelbagai bahan terdapat di Malaysia. Walau bagaimanapun, bakal pengusaha penanaman secara fertigasi digalakkan mengguna pakai teknologi yang diperakui oleh Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani.
  • Atap SPH hendaklah diperbuat daripada bahan yang lut sinar supaya cahaya matahari dapat diterima guna oleh tanaman.
  • Tanpa SPH, pengawalan perosak tanaman secara kimia tidak akan berkesan disebabkan hujan yang turun akan mencuci racun-racun yang diberikan. Semburan ulangan dan penambahan dos semburan akan meningkatkan kos. Percikan air akibat hujan yang menimpa daun juga memudahkan jangkitan kepada pokok-pokok lain.
  • Selain melindungi tanaman daripada dijangkiti penyakit, SPH juga dapat mengelakkan larutan baja yang diberikan kepada pokokmenjadi terlalu cair kerana terkena hujan dan seterusnya menyebabkan pemberian baja tidak berkesan. Akibatnya pertumbuhan pokok terjejas dan hasil merosot.
  • Walau bagaimanapun SPH yang dilengkapi dengan dinding jaring kalis serangga tidak dapat menjamin tanaman daripada menjamin tanaman bebas daripada diserang atau dijangkiti penyakit virus. Ini disebabkan dinding jaring walaupun menggunakan saiz 32 mesh masih tidak dapat menyekat kemasukan hama merah, kutu trip, afid atau lalat putih (pembawa virus) kerana saiznya yang kecil.
  • Makhluk perosak ini bukan sahaja boleh masuk dengan melekat pada pakaian atau anggota pekerja yang keluar masuk SPH.
Medium Tanaman


  • Medium tanaman ialah sebarang bahan sama ada organik atau bukan organik yang boleh digunakan sebagai tempat untuk akar berpegang disamping membantu tumbesaran pokok.
  • Medium tanaman yang paling banyak digunakn ialah coconut coir dust yang dikenali sebagai cocopeat atau habuk sabut kelapa.
  • Cocopeat adalah murah dan mudah dibeli jika dibandingkan dengan medium tanaman komersial lain seperti perlite, vermiculite dan maidenwell diatomite.
  • Medium tanpa tanah lain yang boleh digunakan adalah seperti pasir sungai/lombomg atau batu kerikil granit ( bukan batu kapur kerana kandungan kalsiumnya tinggi).

No comments:

Post a Comment